Berpuasa Semasa Hamil: Berbahaya Atau Tidak?

Salam Ramadhan Al-Mubarak.

Tahun 2020 mencatatkan memori yang tidak mungkin akan dilupakan kerana pandemik Covid-19 yang menyebabkan seluruh dunia terkesan dengannya. Bagi seluruh umat Islam di Malaysia pula, pertama kali berpuasa dan mungkin beraya hanya di dalam rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan jangkitan pandemik tersebut. Seperti yang semua sedia maklum, pandemik ini amat berbahaya kerana cepat berjangkit dan golongan yang berisiko tinggi adalah warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak. So, stay safe!

Sempena dengan bulan Ramadhan ini, bermulalah episod berpuasa bagi umat Islam selama sebulan. Akan tetapi, ada individu yang mempunyai masalah untuk berpuasa, iaitu individu yang mengalami gastrik, termasuklah wanita hamil. Apakah berpuasa boleh mendatangkan bahaya bagi wanita hamil atau tidak? Patutkah wanita hamil terus berpuasa sekiranya mempunyai tanda-tanda yang boleh membahayakan nyawa bayi yang dikandung?

Ibu Hamil Boleh Berpuasa

Ya, benar, ibu hamil boleh berpuasa. Dianggarkan 70 peratus wanita hamil memilih melaksanakan ibadah ini, kerana ingin mengejar barakah Ramadan. Kebanyakan ulama berpendapat wanita hamil patut berpuasa sekiranya kesihatan mereka mengizinkan. Dari sudut perubatan pula, berpuasa secara keseluruhannya dibolehkan dan selamat untuk wanita hamil dan bayi.

Bagaimanapun, ada sebabnya Allah SWT memberikan keringanan untuk ibu hamil daripada menjalani ibadah puasa. Perlu diketahui, paras kandungan gula dalam darah wanita hamil ketika berpuasa lebih rendah berbanding wanita tidak hamil kerana darah ibu perlu sentiasa membekalkan gula glukos kepada bayi.

Secara amnya, disarankan agar wanita hamil tidak boleh berpuasa pada trimester kehamilan pertama dan ketiga. Mereka dinasihatkan agar tidak berpuasa pada tiga bulan pertama sekiranya mengalami gejala kehamilan serius, seperti muntah-muntah, kurang selera makan, kepenatan, pening dan pitam.

Pada pandangan Islam, wanita hamil dibenarkan berhenti berpuasa pada bulan Ramadhan dan boleh mengqada’ puasa yang ditinggalkan kemudian, apabila sudah sihat dan boleh berpuasa. Ini kerana diharuskan baginya berbuka puasa dengan sebab-sebab yang tertentu:

1) Jika dia merasa takut berlaku mudarat ke atas dirinya sahaja atau takut ke atas dirinya dan anaknya, maka dalam hal ini wajib dia mengqada’ puasa yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain seperti mana hal keadaan orang yang sakit.

Firman Allah Taala dalam Surah al-Baqarah, ayat 184:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Ertinya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam keadaan musafir (maka bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa mengqadha (sebanyak hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”

2) Jika dia berasa takut akan berlaku mudharat ke atas anaknya sahaja, maka dalam hal ini boleh dia berbuka puasa tetapi wajib dia mengqada’ puasa dan mengeluarkan fidyah sebanyak satu mud ( cupak ) bagi puasa yang ditinggalkan.

Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah, ayat 184:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِين

Ertinya: “Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya untuk berpuasa ( kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin.”

Sentiasa Awasi Pergerakan Bayi

Selain itu, wanita hamil juga perlu sentiasa mengawasi pergerakan bayi di dalam kandungan sekiranya ingin berpuasa. Wanita hamil selepas 28 minggu juga perlu memantau bayi sewaktu berpuasa. Sekiranya pergerakan bayi berkurangan, mereka perlu segera berbuka dan terus ke hospital untuk menjalani pemeriksaan segera dan dapatkan rawatan lanjut.

Langkah ini adalah perlu bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kepada kandungan. Ada beberapa kes terpencil yang menyebabkan kematian bayi sewaktu ibu hamil berpuasa kerana gagal mengawasi pergerakan bayi samada normal atau tidak. Anda perlu berbincang dengan doktor anda mengenai perkara ini. Sekiranya doktor anda mencadangkan anda boleh berpuasa, maka anda boleh meneruskan untuk berpuasa, mengikut kemampuan anda.

Apakah Tanda-Tanda Bahaya Wanita Hamil Perlu Berhenti Berpuasa?

Terdapat beberapa tanda bahaya lain yang perlu dipantau oleh wanita hamil. Anda perlu sentiasa memerhatikan tanda-tanda ini untuk menjaga kesihatan diri dan kandungan anda.

1. Berat badan anda tidak bertambah atau berat badan anda berkurangan. Anda mungkin akan ditimbang apabila menghadiri temu janji pranatal anda, tetapi anda mungkin juga ingin memantau berat badan dengan menimbang diri sendiri di rumah.

2. Anda berasa sangat dahaga atau air kencing anda berwarna gelap dan berbau kuat. Ini adalah tanda-tanda penyahhidratan, yang boleh menyebabkan anda lebih terdedah kepada jangkitan saluran kencing atau jangkitan lain.

3. Sekiranya terdapat perubahan ketara dalam pergerakan bayi anda, seperti jika bayi anda tidak bergerak atau menendang seperti biasa.

4. Anda loya atau mula muntah.

5. Anda mengalami kesakitan seakan-akan sakin bersalin. Ini mungkin tanda kelahiran pramatang dan anda perlu hubungi doktor anda dengan segera.

6. Anda rasa pening, pitam, lemah, keliru atau letih, walaupun anda telah berehat yang baik. Buka puasa dengan segera dan minum air yang mengandungi garam dan gula, atau satu jenis ubat rehidrasi oral seperti Dioralyte, dan hubungi doktor.

Petua Dan Tips Ketika Berpuasa Untuk Wanita Hamil

Menurut Dr Rashi Gupta, Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Klinik iCare, Dubai, terdapat beberapa petua penting untuk diikuti ketika berpuasa untuk wanita hamil:

1. Kekal hidrat. Minum banyak air semasa Sahur dan Iftar

Dates for Sahur

2. Berbuka puasa dengan makanan yang sihat termasuk protein, buah-buahan, kurma dan serat

3. Berbuka puasa sekiranya anda merasa terlalu lemah

4. Makan makanan yang kaya dengan tenaga semasa Sahur

5. Elakkan aktiviti yang akan membuat anda letih secara fizikal semasa berpuasa

Rest and Sleep

6. Dapatkan rehat dan tidur yang cukup

Anda boleh cuba untuk berpuasa selama satu atau dua hari, lihat bagaimana keadaan anda, dan kemudian jumpa doktor untuk pemeriksaan.

Sumber rujukan: (1) Dr Amilia Afzan Mohd Jamil. Berita Harian (2019). Ibu Hamil Boleh Berpuasa. (2) Sana Altaf. Khaleej Times (2018). Should pregnant women fast during Ramadan? (3) Baby Center. Berpuasa semasa hamil.

Leave a Comment