Baca je tajuk ni mesti ibu ayah dah faham apa isu yang akan dikupas pada entri kali ini kan? Ya, betul tu. Sememangnya gadget adalah musuh utama terhadap proses tumbesaran kanak-kanak. Namun, sekarang ia sangat biasa dan selalu digunakan bagi kebanyakkan ibu ayah yang terlalu sibuk ataupun menggunakan jalan singkat untuk membesarkan anak-anak demi memudahkan mereka menjalani kehidupan seharian.
.
Pernahkah kita sebagai ibu bapa bertanyakan soalan kepada diri sendiri, tidakkah kita telah dengan sengaja mendedahkan anak-anak kita yang berharga ini kepada bahaya gadget bukan sahaja kerana radiasi yang sememangnya diketahui ramai malahan dari segi social juga? Ramai yang memberikan alasan anak akan lebih mudah dikawal dengan memberikan gadget kepada mereka. Malahan ada juga yang mengakui anak akan lebih duduk diam jika focus kepada gadget.
.
Masih ingatkah wahai ibu ayah, sebelum mempunyai anak, kita semua berharap ada sepasang kaki kecil, mulut becok sang anak memeriahkan suasana rumah kita selepas berkeluarga? Jadi, mengapa selepas telah dikurniakan cahaya mata pengarang jantung ini dari Allah swt, kita semua alpa pula dan dengan mudah dan leka membenarkan anak kita hanyut di ambang ketagihan terhadap gadget yang boleh memberikan impak buruk apabila anak meningkat remaja nanti? Hanya kerana kita mahukan suasana yang senyap kerana terasa bingit pula dengan mulut anak yang menangis, bertanya itu ini sedangkan itulah yang kita mahukan sebelum bergelar ibu dan ayah?
.
Baiklah, CikTa akan kupas lebih lanjut berkenaan tajuk kali ini, “Kenapa Gadget Bahaya Untuk Anak”. Sumber dipetik dari The Asian Parent. Terdapat 5 sebab utama mengapa gadget sangat bahaya untuk anak kita. Sebelum tu, CikTa nak kongsi sikit statistic dari penyelidikan oleh Pakar Pendidikan Kanak-Kanak di Kumpulan Michael Cohen yang telah mendedahkan bahawa 36% kanak-kanak yang dibenarkan bermain gadget mempunyai peranti mereka sendiri.
.
Dalam satu kes di Wuhan, China, seorang kanak-kanak berusia 6 tahun telah tersekat di seat jamban hanya kerana terlalu lama duduk di situ akibat leka bermain di telefonnya! Oleh kerana ahli keluarganya telah gagal dalam usaha untuk mengeluarkannya dari seat jamban itu, maka mereka terpaksa menghubungi bahagian kecemasan untuk mendapatkan bantuan. Bayangkan, pihak bomba mengambil masa 1 jam untuk mengeluarkan kanak-kanak tersebut hanya kerana padah leka daripada bermain gadget semasa berada di atas seat jamban! Bunyi macam kelakar kan, tapi ia sebenarnya langsung tak kelakar jika berlaku kepada anak kita sendiri.
.
Kenapa CikTa berminat sangat nak mengupas lebih lanjut mengenai isu bahaya gadget ini? Ini adalah kerana gadget mempunyai kesan jangka panjang dan kekal kepada anak-anak kita yang kita hanya akan nampak apabila anak sudah semakin meningkat dewasa.
.
AKIBAT ANAK SERING BERMAIN HP #1 TIDAK BAIK UNTUK OTAK
Sebelum kanak-kanak boleh bercakap, otak mereka membesar 3 kali ganda. Banyak proses pembelajaran berlaku sebelum usia 5 tahun. Kajian oleh Universiti of Washington mendapati gadget moden tidak diperlukan dalam perkembangan kanak-kanak di mana mereka boleh melakukannya melalui bercakap dengan mereka dan bacakan buku. Sebaiknya, masa diperuntukkan untuk ibu bapa dan anak, bukannya anak dengan gadget. Pendedahan berlebihan dengan gadget juga dikaitkan dengan kekurangan perhatian, kelewatan kognitif, dan pembelajaran yang terjejas.
.
AKIBAT ANAK SERING BERMAIN HP #2 KELEWATAN BERCAKAP
Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), tiada rancangan Pendidikan untuk kanak-kanak di bawah umur 2 tahun. AAP mengatakan kanak-kanak tiada keupayaan kognitif untuk memahami sebarang program sedemikian. Sebaliknya, ia boleh mengganggu proses mula bercakap kanak-kanak kerana masa untuk ibu ayah berborak dengan anak akan terganggu. Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh Common Sense Media, sebanyak 38% kanak-kanak berusia di bawah 2 tahun telah menggunakan gadget seperti telefon pintar dan tablet walaupun sebelum mereka boleh bercakap atau berjalan.
.
AKIBAT ANAK SERING BERMAIN HP #3 KURANG BERMAIN YANG BOLEH MEMBAWA KEPADA PERKEMBANGAN YANG LAMBAT
Tahukah kita semua bahawa kurangnya pergerakan fizikal boleh menyebabkan pembangunan yang lambat kepada kanak-kanak. Contohnya, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang telah menghabiskan masa lebih banyak di depan skrin dan bukan bermain di luar rumah untuk sebarang aktiviti fizikal. Seorang doctor di Harward bernama John Ratey telah menjelaskan di dalam bukunya bertajuk Spark: The New Revolutionary Science of Exercise and The Brain, bahawa kelebihan bermain walaupun selama 10 minit aktiviti fizikal mampu mengubah cara fungsi otak. Faham faham?
.
AKIBAT ANAK SERING BERMAIN HP #4 ANAK BOLEH BERSIKAP AGRESIF
Masih tak percaya gadget sangat berbahaya kepada anak-anak kita? Meh CikTa bentangkan lagi satu kajian iaitu dari National Institutes of Health mendapati peningkatan penggunaan teknologi moden boleh memecahkan sempadan keluarga, nilai moral, masalah tingkahlaku dan kesejahteraan kanak-kanak. Sesetengah permainan yang terdapat di internet menggambarkan seks, pembunuhan, penyeksaan dan kecacatan, yang boleh mendorong kanak-kanak menjadi ganas dan agresif.
.
AKIBAT ANAK SERING BERMAIN HP #5 ANAK BOLEH MENGALAMI GANGGUAN PSIKOLOGI
Kanak-kanak yang menghabiskan masa di depan skrin atau media lain lebih daripada 32 jam lebih cenderung mengalami masalah psikologi. Ini termasuk kemurungan kanak-kanak, kecemasan, defisit perhatian, dan tingkah laku kanak-kanak yang bermasalah. Sebaliknya, kanak-kanak yang mejalani aktiviti fizikal yang lebih sederhana, lebih baik dalam kategori emosi dan lebih mampu menyelesaikan masalah rakan sebaya.
.
Sebagai ibu ayah yang sayangkan anak-anak, kita semua sepatutnya meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak dan bukan mengalihkan perhatian mereka daripada kita melalui gadget. Kita bukan sahaja mendedahkan mereka kepada pelbagai masalah pada masa hadapan malahan kita sendiri yang sebenarnya menjauhkan anak-anak daripada kita. Adakah kita mahu anak kita lebih mementingkan gadget berbanding kita pada kemudian hari? Fikir-fikirkanlah dan bertindak sebelum terlambat!
#anitapedia #journeytoexcellence #lovechildnogadget