Puasa Dan Gastrik – Jom Ketahui Tanda-Tanda Gastrik

“Sesungguhnya kami para Nabi diperintahkan untuk menyegerakan berbuka (sebaik masuk waktunya) dan melewatkan sahur.” (Majma’ az-Zawa’id, no. 2609. Kata al-Haitsami, “Hadis riwayat ath-Thabrani dalam al-Kabir dan para perawinya perawi kitab Shahih.”)

إنا معاشر الأنبياء أمرنا بتعجيل فطرنا وتأخير سحورنا

Ramadhan Al-Mubarak telah menjelma dan seluruh umat Islam seronok dan bersyukur kerana masih berpeluang menjalankan ibadah puasa. Sebagai persediaan untuk berpuasa sepanjang hari, kita akan bersahur terlebih dahulu dan sesungguhnya di dalam sahur itu, ada berkatnya. InshaAllah.

Akan tetapi, ada juga individu yang terlewat atau pun tidak terbangun untuk sahur kerana waktu sahur adalah awal pagi sebelum masuknya waktu Subuh. Ia menyebabkan puasa menjadi cabaran yang cukup besar kerana perut yang kosong, sehinggakan ada yang mengalami penyakit gastrik.

Apakah itu penyakit gastrik?

Gastritis atau penyakit gastrik yang dikenali umum adalah satu penyakit yang seringkali dikaitkan dengan pedih atau sakit pada bahagian perut atau ulu hati . Dari istilah perubatan, penyakit gastrik adalah keradangan yang berlaku di lapisan permukaan perut. Apa yang terjadi pada pesakit gastritis adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan antara 2 faktor iaitu faktor yang melindungi dan faktor agresif yang menyebabkan keradangan pada lapisan permukaan perut.

Bagaimana cara untuk mengetahui bahawa anda sedang mengalami penyakit gastrik? Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan bahawa anda sedang diserang penyakit gastrik iaitu:

  • Sakit perut pada bahagian atas perut atau abdomen
  • Rasa senak, berangin atau pedih.
  • Rasa tidak selesa dan kembung
  • Sendawa berulang kali
  • Kerap kentut selepas makan
  • Rasa mual atau loya dan muntah
  • Berat badan turun (peringkat kronik)
  • Najis berwarna hitam seperti tar dan muntah yang mengandungi darah (peringkat kronik)
  • Hilang selera makan

Apabila anda mengalami tanda-tanda seperti yang disebutkan di atas, anda boleh cuba kurangkan rasa sakit dengan menggunakan minyak angin ataupun balm yang diperbuat dari bahan-bahan semulajadi. Terdapat pelbagai produk bagus di pasaran yang boleh anda gunakan sebagai rawatan peringkat awal.

Akan tetapi sekiranya gastrik semakin melarat, anda perlu segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Apakah yang perlu dilakukan supaya tidak gastrik semasa berpuasa?

Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan supaya anda boleh berpuasa tanpa gastrik. Penjagaan pemakanan semasa bersahur dan berbuka sangatlah diperlukan supaya anda dapat menjaga kesihatan perut sepanjang berpuasa. Antara contoh makanan yang perlu dielakkan semasa bersahur dan berbuka ialah:

1. Sayuran & Buahan yang ‘Berangin’

  • Contohnya sawi, kubis, kekacang, buah kedondong, nangka dan sebagainya.

2. Minuman Bergas

  • Minuman jenis ini akan menghasilkan gas yang banyak sehingga perut anda berasa penuh seterusnya membuatkan anda tidak mahu makan.

3. Makanan Pedas

  • Memang menaikkan selera makan tetapi ia boleh melukakan perut terutamanya apabila diambil dalam jumlah yang banyak.

4. Asam

  • Elakkan pengambilan makanan dan buah yang bersifat asam.

5. Makanan Susah Hadam

  • Ada beberapa jenis makanan yang sukar diproses  sehinggakan menyukarkan proses penghadaman. Contohnya kek berkrim, coklat dan keju.

6. Makanan Berkarbohidrat

  • Sebahagian makanan yang mengandungi karbohidrat juga tidak baik untuk pesakit gastrik. Elakkan pengambilan mi, bihun, pasta, jagung, ubi, keladi dan sebagainya.

Demikian serba sedikit tanda-tanda gastrik dan pemakanan yang boleh diamalkan untuk mengelakkan gastrik. Walaupun mempunyai penyakit gastrik, anda masih boleh menjalani ibadah puasa dengan sempurna tanpa derita!

Sumber rujukan: (1) Ah Hiyer, N. Mingguan Wanita (2018). Jururawat ini kongsi 8 tip teruskan berpuasa tanpa derita untuk pesakit gastrik. (2) Kamila, D. Siraplimau (2015). 10 Tanda Gastrik Yang Anda Perlu Tahu. Selalu Jadi Pada Bulan Ramadhan! (3) Elina. Rasa (2017). 5 Jenis Makanan Perlu Dielak Oleh Pesakit Gastrik.

Leave a Comment