Sembelit Selepas Bersalin – Lakukan Senaman Ini!

Bersalin. Berpantang. Sembelit.

Agaknya apakah kaitan antara semua ini? Ya benar. Kebanyakkan ibu selepas bersalin pasti akan melalui fasa sembelit semasa berpantang. Adalah biasa jika anda tidak dapat membuang air besar selama beberapa hari pertama selepas melahirkan bayi. Kira-kira 20% ibu-ibu mengalami sembelit selepas melahirkan.

Selepas saya melahirkan Aariz dulu melalui pembedahan, memang ada juga melalui fasa sembelit semasa dalam tempoh berpantang dan selepas berpantang juga. Ini kerana takut nak meneran semasa membuang disebabkan oleh luka pembedahan yang belum sembuh dengan sempurna. Almaklum sajalah, bimbang jika luka pembedahan terbuka semula jika meneran dengan kuat.

Berbeza sedikit dengan kelahiran normal. Kawasan di antara faraj dan dubur (perineum) mungkin akan terasa kebas kerana melahirkan secara normal akan meregangkan saraf-saraf di dalam dan yang mengelilingi faraj. Jadi anda mungkin tidak begitu rasa apabila membuang air besar untuk pertama kali.

Kenapa sembelit selepas melahirkan bayi?

Sebenarnya, kita perlu bertenang dan tidak menganggap bahawa membuang air besar selepas bersalin adalah menyakitkan. Ini kerana kegusaran boleh membuat anda mengetatkan otot, bukannya mengendur dan membukanya. Jika difikirkan secara logik, ada juga benarnya kan?

Berikut adalah di antara beberapa sebab fizikal anda mungkin tidak boleh membuang air besar seperti:

  • Jumlah hormon progesteron yang tinggi dalam badan anda semasa hamil boleh menyebabkan sembelit.
  • Sistem pencernaan anda berfungsi dengan lebih perlahan semasa proses kelahiran.
  • Ubat yang diberi untuk kelegaan sakit semasa proses kelahiran, seperti petidina boleh menyebabkan usus anda berfungsi lebih lemah.

Malahan, sekiranya anda berada dalam situasi di bawah, anda mempunyai lebih kemungkinan untuk mengalamai sembelit.

  • Anda melalui kelahiran dibantu, seperti forseps atau ventouse
  • Anda mengambil pil zat besi yang boleh menyebabkan sembelit
  • Anda mengalami koyakan yang teruk semasa melahirkan

Bagaimana cara untuk meredakan sembelit selepas bersalin?

Anda boleh menggunakan bebrapa tips berikut untuk meredakan sembelit selepas bersalin.

1. Mula makan dan minum dengan kerap sebaik saja anda melahirkan bayi anda. Cuba makan makanan berserat tinggi, terutama sekali buah-buahan, dan minumlah banyak cecair. Ini kerana cecair akan membuat najis anda lebih lembut dan senang untuk dilepaskan.

2. Menyusui bayi boleh membuat anda dahaga, jadi anda perlu banyak minum. Ini sangat bagus kerana ia boleh membantu melembutkan najis anda.

3. Bangunlah dari katil sebaik saja anda bersalin dan bawa berjalan secara dekat dan kerap di keliling wad jika anda masih di hospital, atau semasa di rumah. Duduk atau berbaring untuk jangka masa yang lama akan membuatkan sembelit lebih teruk.

4. Apabila anda sudah mula terasa hendak membuang, pergi ke tandas dan duduk dengan betul di atas mangkuk tandas. Jengketkan kaki supaya lutut anda lebih tinggi daripada paha. Jika boleh, letakkan kaki anda di atas bangku. Ini membolehkan lutut anda naik lebih tinggi. Rasionalnya adalah supaya anda berada dalam posisi yang paling mirip dengan mencangkung sebab ini adalah posisi yang paling ideal untuk membuang air besar.

Menyangga dan membonjol

Jika masih sukar untuk membuang, lakukan senaman “menyangga dan membonjol”

Apakah senaman ini? Ia adalah satu senaman yang digunakan supaya anda boleh membuang tanpa meneran dengan keterlaluan kerana sembelit. Berikut adalah cara-caranya:

1. Letakkan tangan atas perut.

2. Tarik otot perut anda ke dalam supaya perut mengempis dan pinggang melebar. Ini dipanggil “menyangga”.

3. Sekarang tolak otot perut anda keluar ke dalam tangan anda. Anda mungkin akan terasa hendak menyebut “uggghh” apabila melakukan ini. Ini dipanggil “membonjol”.

4. Buatlah lebih kurang 10 sangga dan bonjol, kemudian akhirinya dengan satu bonjol yang panjang, berlangsung lebih kurang tiga hingga lima saat.

5. Jika ini tidak berlaku, jangan pula meneran. Buat beberapa sangga dan bonjol lagi, kemudian cuba lagi.

6. Jika tiada apa yang berlaku, buatlah senaman lantai pelvis, keluar daripada tandas dan cuba lagi kemudian. Cuba minum segelas air kosong atau jus buah-buahan. Ia membantu untuk lebih mudah mengeluarkan najis.

7. Selepas makan atau minum, jangan duduk atau berbaring. Sebaliknya, pergilah berjalan-jalan. Ini membantu merangsangkan pergerakan usus besar.

8. Jika masih sembelit selama 3 hari, sila berjumpa dengan doktor ya.

Tips untuk mengelakkan sembelit berulang selepas bersalin

Tahniah jika anda sudah berjaya membuang dengan teknik senaman di atas. Untuk mengelakkan sembelit berulang, ambil langkah berikut sebagai pencegahan ya!

  • Sedari dan bertindaklah atas desakan-desakan badan anda, dan pergilah buang air apabila terasa.
  • Elakkan ubat yang mempunyai kesan sampingan sembelit. Ini termasuk sesetengah pil penahan sakit seperti codeine, jadi tanyalah doktor anda.
  • Makan pada masa yang tetap dengan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, dan minum lapan hingga 10 gelas air sehari.
  • Sapukan balm semulajadi secara kerap supaya membantu proses membuang.
  • Pastikan anda membuat senaman setiap hari. Sekadar berjalan-jalan sambil menolak bayi dalam kereta sorongnya pun sudah memadai.
  • Beritahu doktor jika anda menghidapi buasir atau rekah-rekah anus. Masalah ini boleh membuat sembelit menjadi lebih teruk.

Jika artikel ini memberikan manfaat untuk anda, share dan kongsikan juga ya!

Terima kasih.

Sumber rujukan (1) Baby Center. Sembelit Selepas Bersalin. (2) Dr Zubaidi Ahmad. The Asian Parent Malaysia. Seksa Sembelit Dalam Pantang! Jangan Biar Saja, Ini Cara Legakannya Dengan Cepat.

Leave a Comment